Knowledge is POWER Rotating Header Image

February, 2007:

Peminjam Tegar PTPTN

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih gagal menjelaskan tunggakan hutang selepas disenarai hitam, boleh dikenakan kadar faedah tambahan sekali ganda berbanding tiga peratus sekarang.

Ia bermakna peminjam terbabit yang sepatutnya membayar faedah tiga peratus setahun bagi menampung kos pentadbiran pinjaman mereka, perlu menanggung faedah lebih tinggi, iaitu sekurang-kurangnya enam peratus.

Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani , berkata faedah tambahan yang dikenakan terhadap peminjam terbabit bergantung kepada keputusan mahkamah selepas kes mereka dibicarakan.

“Tiada had siling ditetapkan, tetapi faedah tambahan itu mesti lebih daripada kadar tiga peratus kos pentadbiran yang dikenakan sekarang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Pada 5 Februari lalu, PTPTN memfailkan saman terhadap 111 daripada 1,000 kumpulan pertama peminjam tegar yang disenarai hitam dan kes itu dijangka didengar dalam tempoh sebulan dua lagi.

Mereka sebahagian daripada 38,484 graduan yang mempunyai tunggakan hutang berjumlah RM867 juta sejak 1999.

Jika peminjam terbabit gagal patuh perintah mahkamah, waran tangkap akan dikeluarkan dan mereka berhadapan tindakan dipenjara, diisytihar bankrap dan harta benda disita.

Peminjam terbabit berusia antara 30 hingga 35 tahun dan ada yang sudah menjadi doktor, peguam, pegawai bank dan eksekutif dengan menerima gaji antara RM3,500 hingga RM5,000 sebulan.

Yunos berkata, saman terhadap 889 lagi peminjam dalam kumpulan pertama itu akan difailkan dalam masa terdekat.

“Selepas itu, kumpulan kedua yang disenarai hitam pula akan dikenakan tindakan sama dan usaha ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil sebagai amaran terhadap peminjam yang masih degil dan liat membayar pinjaman walaupun sudah lebih enam bulan menamatkan pengajian.

“PTPTN memandang serius perkara ini kerana kita terpaksa menanggung pelbagai kesulitan untuk menaja pelajar lain di masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, mulai 1 Februari lalu, PTPTN menyenaraihitamkan kumpulan pertama 1,000 peminjam yang masih gagal melunaskan pinjaman, dalam rekod Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) dan Bris Information Services Sdn Bhd (BRIS).

Mereka yang disenarai hitam dalam CTOS dan BRIS tidak boleh membuat pinjaman dengan institusi kewangan, termasuk bagi pembelian kereta atau rumah.