Knowledge is POWER Rotating Header Image

October, 2009:

Dr. Zeti dapat penilaian gred A daripada majalah Global Finance

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz telah memperoleh gred A dalam kad Laporan Penilaian Bank Pusat 2009 yang dikeluarkan oleh majalah Global Finance dari Amerika Syarikat.

Dr.Zeti muncul sebagai antara empat Gabenor Bank-Bank Pusat dari benua Asia yang mendapat pencapaian tertinggi itu dan ketujuh di kalangan empat benua dunia.

Selain Malaysia, Gabenor dari republik Czech, Kesatuan Eropah, Australia, Korea Selatan, Taiwan dan Israel turut menerima gred A dalam laporan penilaian mereka.

Penilaian yang terbaru merupakan satu peningkatan apabila Dr. Zeti diberikan gred B pada tahun lalu.

Kecemerlangan itu diberikan berdasarkan tindakan yang diambil beliau dalam menguruskan sistem kewangan negara ketika dunia menyaksikan kemelut ekonomi dan kewangan yang terburuk sejak zaman kemelesetan pada tahun 1930an.

Global Finance dalam ulasannya berkata, Dr. Zeti telah menguna pakai pendekatan untuk melonggarkan polisi monetari dengan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak November hingga Mac tahun ini, ketika kadar inflasi merosot.

Pada masa ini, kadar OPR dikekalkan memandangkan ekonomi dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini.

Global Finance menambah, Dr. Zeti juga telah memberikan tumpuan kepada pendekatan dasar monetari lain bertujuan merangsang pertumbuhan dengan memastikan pengurangan kadar faedah dinikmati oleh para peminjam dan terdapat kecairan yang besar dalam sistem bagi syarikat-syarikat yang memerlukan pembiayaan semula.

Bagaimanapun, Global Finance mengingatkan bahawa Dr. Zeti perlu sentiasa berwaspada dalam memastikan usaha menggalakkan pemberian pinjaman tidak membawa kepada penambahan pinjaman tidak berbayar.

Menurut majalah itu, 2009 merupakan antara tahun paling mencabar dan bank-bank negara dunia diuji dalam ujian yang belum pernah dilalui sebelum ini.

[Source: utusan.com.my]